Cara-cara Untuk Membalas Jasa Ibu Bapa

assalamualaikum~!

hye..hye..hye... saya di sini..baiklah, hari ini aku nak kongsikan dengan kalian semua salah satu karangan yang pernah aku buat.. aku nak kongsikan sebab aku nak tolong siapa-siapa yang ketandusan idea tu.. karangan ini sesuai bagi soalan karangan yang 350 patah perkataan punya.. baiklah, untuk pengetahuan karangan ini sememangnya hasil daripada otak aku.. karangan ini bukan ciplak ya..

Soalan: Huraikan pendapat anda tentang cara-cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk membalas jasa ibu bapa.

Ayah dan ibu,
Ayah dan ibu,
Itulah permulaan kami,
Dapat melihat bulan dan matahari.


          Bait-bait lagu di atas jelas menunjukkan bahawa hidup kita bermula dengan ibu dan bapa. Siapakah ibu bapa? Ibu bapa ialah orang tua kita. Ibu yang melahirkan kita dan yang telah mencurahkan sepenuh kasih sayangnya kepada kita. Ayah yang membesarkan kita dan bertanggungjawab menguruskan hal kebajikan kita dengan membeli segala keperluan harian kita dari kecil sehingga kita dewasa. Ibu dan ayah memberikan tauladan yang mahmudah kepada kita untuk mengharungi hidup yang berliku-liku dengan cabaran dan dugaan. Mereka menatang kita bagai minyak yang penuh untuk melihat kita berjaya dan mempunyai akhlak yang cemerlang di kemudian hari. Setiap hari mereka berdoa kepada Tuhan yang maha Esa supaya Tuhan menjadikan anak mereka adiwangsa dan berguna kepada murba. Kendatipun kita melakukan kesilapan, mereka memaafkan kita kerana mereka sudah maklum bahawa kita ini baru belajar mengenai kehidupan. Tiada seulit dendam pun di dalam hati mereka kepada kita yang baru berumur setahun jagung, setampuk pinang. Tetapi, hasil pengorbanan dan jerit perih mereka diambil enteng oleh anak-anak yang lahir dari darah daging mereka sendiri. Persoalannya, adakah muasir ini kita sebagai anak-anak membalas jasa ibu bapa kita? Terdapat pelbagai minhaj untuk membalas jasa ibu-bapa.
          Pada zaman pascakemerdekaan ini, kita sudah maklumi bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan ini. Pada pendapat saya, kita perlulah belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibu bapa kita. Kita haruslah bersemangat untuk belajar. Kita boleh menunjukkan semangat kita dengan cara meluangkan masa lapang kita dengan menelaah kembali matapelajaran yang kita kurang faham. Selain itu, kita boleh menghadiri kelas tambahan atau tuisyen untuk menunjukkan semangat kita dalam menuntut ilmu. Kita perlu belajar bersungguh-sungguh agar tidak menjadi ibarat kata di bawah tempurung. Seperti yang kita maklumi, anak-anak muasir ini kebanyakkannya bersikap hedonism dan nihilism. Bagi anak-anak yang mempunyai sikap yang sedemikian, anda perlulah lebih cakna tentang pelajaran anda daripada anda memilih keseronokan duniawi yang lagha dan boleh menyebabkan kita lalai dalam kehidupan kita. Ilmu yang kita terima di sekolah amat penting dalam menentukan kejayaan kita di kemudian hari. Jika kita berjaya mengecapi kejayaan, ibu bapa kita adalah orang pertama yang paling bahagia kerana mereka tahu bahawa mereka telah berjaya mendidik kita menjadi orang yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan marhaen lain yang lebih besar di negara ini. Jika kita berasa bahawa kita hanyalah orang yang gagal ingatlah menurut kata Henry Thoreau, manusia dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan mengalami kegagalan. Jadi, jika kita gagal pada hari ini, kita mestilah berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mengecapi kejayaan. Kita perlu tahu bahawa kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik. Bak kata Joseph Conrad, tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialahkita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat. Pada hemat saya, inti patinya, salah satu cara untuk membalas jasa ibu bapa kita adalah dengan memberi mereka kejayaan kita.
          Sehubungan dengan itu, bagi membalas jasa ibu bapa kita, kita boleh membantu mereka dalam apa jua keadaan sama ada senang atau susah. Dengan uslub ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. terdapat pelbagai inisiatif untuk membantu mereka. Contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini adalah membantu mereka dari sudut kewangan. Sememangnya ibu bapa kita sudah berumur, tenaga mereka juga akan berkurangan untuk mencari rezeki. Tibalah masanya untuk kita berbakti kepada mereka agar tidak dilabel sebagai anak yang derhaka. Menurut hadis riwayat Al-Tarmizi, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa. Hadis ini bemaksud apabila ada prilaku kita yang menyebabkan ibu bapa murka terhadap kita akan mengundang kemurkaan Allah. Mungkin kita akan tertanya-tanya mengapa kita yang perlu menggalas tanggungjawab ini. Kita perlu menggulung tanggungjawab ini kerana kita ialah insan yang paling rapat dengan mereka. Selain daripada bantuan kewangan, kita juga boleh mengeluarkan tenaga muda kita sebagai zuriat mereka. Kita boleh menguruskan hal yang bekaitan dengan rumah. Sebagai contoh, mengemas rumah, memasak dan membasuh baju. Dalam organisasi keluarga, kita semua saling memerlukan antara satu sama lain. Sudah menjadi obligasi kita sebagai anak untuk membantu ibu bapa kita. Pada pandangan saya, sekiranya kita membalas jasa ibu bapa kita dengan membantu mereka kita sudah pun membina sebuah jambatan ke syurga.
          Dalam pada itu, kita juga perlulah mendengan dan menurut kata-kata mereka. Menurut ayat 15, Surah Al-Ahqaf, ada menyatakan "dan kami mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah." Menurut ayat ini, kita dapat mengetahui segala jerit perih yang ibu kita hadapi semasa mengandungkan kita dan juga semasa melahirkan kita. Segala kata-kata ibu bapa kita ibarat mutiara yang keluar dan kita perlu manadahnya sebaik mungkin supaya mutiara itu tidak terlepas daripada genggaman kita. Mungkin bagi anak watan zaman ini, kata-kata ibu bapa kita akan diambil tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ibu bapa kita mempunyai pengalaman yang amat luas dalam kehidupan mereka dan segala tutur kata mereka membawa kebaikan. Kita sememangnya dituntut untuk belajar dengan orang yang lebih mahir daripada kita. Dalam hal ini, ibu bapa ialah guru yang mengajar kita erti kehidupan dan kita mestilah belajar daripada kisah hidup mereka yang telah mereka alami. Apabila kita mematuhi segala kata-kata mereka ia dapat memaparkan bahawa kita hormat kepada mereka sebagai ibu bapa kita. Kebanyakan generasi pada zaman globalisasi ini akan berang dan membentak sekiranya diminta untuk melakukan sesuatu oleh ibu bapa. Ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak ini biadap. Al Ghazali Bayruni menyatakan bahwa biarlah hidup kita beradap, bukan hidup untuk biadap. Ini turut menunjukkan anak ini telah melakukan kesilapan. Si anak juga tidak tahu cara untuk membalas jasa ibu bapa mereka lagi. Menurut kata Conficius, seseorang yang melakukan kesilapan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu lagi kesilapan. Jadi, tegasnya di sini, anak-anak perlulah memperbetulkan segala kesalahan mereka dan mentaati segala perintah ibu bapa mereka.
          Sejak kebelakangan ini, kita acap kali mendengar atau membaca berita tentang ibu bapa yang dibuang oleh darah daging mereka sendiri. Hal ini telah menjadi polemic di media massa. Mungkin hal ini berlaku kerana kesibukan anak-anak yang leka  dengan hal duniawi untuk mengumpul harta sendiri. Ini semua hanyalah alasan. Bagaimana pula semasa kita kecil kita tidak dibuang oleh ibu bapa kita yang sibuk membanting tulang siang dan malam untuk mencari rezeki? Jika ibu bapa kita dapat menjaga kita dengan baik walaupun mereka sibuk bekerja, mengapa pula kita sebagai sebagi anak mereka tidak mampu untuk menjaga mereka. Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu terlalu penting dalam sesebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang. Hadiah yang terbaik kepada kedua ibu bapa kita adalah harga budi dan kesetiaan. Dengan cara ini, kebahagiaan antara ibu bapa dan kita akan tercapai. Menurut kata Said Mustafa, memang amat tinggi terletaknya kebahagiaan. Namun kita harus menuju ke sana. Ada orang yang berputus asa berjalan ke arahnya lantaran disangkanya jalan ke sana amat sukar. Padahal mudah, kerana ia dimulai daripada dirinya sendiri. Menjaga ibu bapa kita yang sudah tua tidaklah sesusah mana. Hanya perlu bermula daripada diri kita sendiri. Kebanyakkan anak-anak mengambil langkah drastik dengan menghantar mereka ke pusat jagaan orang-orang tua. Tidak fikirkah anak-anak ini tentang perasaan ibu bapa mereka yang sudah menjaga mereka dari kecil sehingga dewasa tanpa sebarang keluhan. Ibu bapa mampu untuk menjaga 10 oran anak, mengapa pula 10 orang anak tidak mampu menjaga ibu bapa mereka. Tegasnya di sini, hargailah mereka semasa mereka masih lagi ada di dunia ini.


          Bagi menggulung segala muduk di atas, jelaslah bahawa pengorbanan ibu bapa kita sememangnya besar dan tidak mampu dibalas dengan wang ringgit. Dalam hidup ini, kita perlu percaya kepada hukum karma. Jika kita berbuat baik, kita akan dibalas kebaikan. Jika kita berbuat jahat, kita akan dibalas kejahatan. Jika kita menjadi ibu bapa, adakah kta mahu anak-anak kita tidak membalas segala jasa dan pengorbanan kita terhadap mereka. Jika kita berbuat jahat ingatlah peribahasa arab ada menyatakan tiada kejahatan yang dapat dinilai sabagai baik, walaupun kejahatn itu dilakukan untuk tujuan yang baik. Kita perlulah sedar dengan segala kesilapan kita. Menurut Oliver Wendell Holmes, kesedaran walau sesaat sering kali lebih berharga daripada pengalaman sepanjang hayat. Kita sering muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat. Balaslah jasa ibu bapamu sebelum mereka pergi meninggalkanmu selama-lamanya. Pada masa itu, kamu tidak dapat membalas lagi jasa mereka terhadapmu.